Wednesday, 28 September 2011

FUQAHA

Imam Abu Dawud rahimahullahmeriwayatkan bahawasanya satu hari ketika Junjungan Nabi SAW keluar berkeliling bersama-sama para sahabat di Kota Madinah al-Munawwarah, maka baginda telah melihat sebuah rumah yang berkubah. Baginda Nabi SAW langsung bertanya: "Apakah ini?",dijawab oleh para sahabat: "Ianya milik seorang lelaki daripada kaum Ansar."Maka baginda Nabi SAW diam, seolah-olah menyimpan sesuatu dalam hati baginda, kemudian pemilik rumah tersebut telah datang menemui baginda dan mengucapkan salam kepada baginda di sisi manusia banyak, tetapi Junjungan Nabi SAW berpaling daripadanya. Si Pemilik terus mengucapkan salam berkali-kali dan Junjungan SAW tetap sahaja berpaling sehingga diketahuinya bahawa Junjungan SAW murka dan berpaling daripadanya. Lalu Si Pemilik mengeluh kepada sahabat-sahabatnya: "Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mengingkari Rasulullah SAW." Sahabat-sahabatnya berkata: "Junjungan SAW tadi keluar lalu melihat kubahmu?" Maka pulanglah Si Pemilik kepada kubahnya lalu diruntuhkannya kubah tersebut sehingga rata ke tanah. Maka pada satu hari Junjungan Nabi SAW keluar lagi dan baginda tidak melihat kubah tersebut lalu baginda bertanya: "Apakah yang telah terjadi?" Para sahabat menjawab: "Pemiliknya mengadu kepada kami tentang berpalingnya Junjungan daripadanya, maka kami memberitahunya mengenai perkara kubah tersebut lalu dia pun meruntuhkannya." Junjungan Nabi SAW pun bersabda: إن كل بناء وبال على صاحبه إلا ما لا إلا ما لا "Sesungguhnya setiap bangunan / binaan itu akan menjadi sesalan bagi pemiliknya, kecuali apa yang dibangunkan untuk sesuatu keperluan yang mesti baginya (yakni yang dibina atas hajat keperluan dan bukannya untuk bermegah-megah atau bermewah-mewah". Allahu ... Allah, hidup dalam dunia ini hanya sementara, rumah yang kita bina hanya untuk diduduki sekadar hayat kita kat muka bumi ini sebelum kita masuk ke dalam bumi. Ada manusia yang suka bermegah-megah dengan kediaman mereka atas bumi yang fana ini, dibinakanlah gedung megah secara bermewah-mewah dengan bilik-bilik yang banyak tanpa ada sesuatu keperluan. Sungguh ini juga satu bentuk pembaziran yang akan mengundang penyesalan di akhirat nanti. Ingatlah bahawa kebarangkalian untuk kita mendiami lubang kubur lebih lama daripada kita menduduki rumah kat muka bumi ini adalah tinggi. Ada si fulan hanya sempat menduduki istana mewahnya untuk 4 tahun, namun hingga kini dia telah mendiami kuburnya sudah 140 tahun. Maka hendaknya kita ambil iktibar, sukakan rumah yang besar dan luas, maka jangan lupa untuk melapangkan kubur kita dengan amalan sholeh dan menjauhi segala perkara yang boleh menjadi kesempitan dan kegelapan di dalamnya. Ingat seawal-awal manzil akhirat itu kubur, jika mudah kehidupan di dalamnya, maka insyaAllah, akan mudahlah pula kehidupan seterusnya di alam akhirat. Mudah-mudahan Allah meluaskan kuburan yang bakal kini huni dengan segala macam anugerah kenikmatan dan kelapangan sehingga duduknya kita nanti di dalamnya dalam keselesaan dan kenyamanan, aaamiin.

No comments:

Post a Comment