Menurut catatan....Al-'alim Al-'Alamah A-Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa Al-Fathoni(Guru kepada Wali Allah Yang Tersohor Tok Kenali);
Kata "Tasauf" timbulnya dari banyak pengertian, akan tetapi dipersingkatkan dari dua istilah sahaja iaitu "Pengertian pada lughah" dan "Pengertian pada istilah ahli hakikat".
1. Makna pada lughoh ialah;
Memakai shauf ertinya bulu(bulu baju). Bahawa adalah sebahagian besar pengikut-pengikutnya pada zaman dahulu memakai baju yang dibuat daripada bulu-bulu. Kelakuan mereka dengan pakaian demikian itu menyalahi adat kebanyakan manusia yang selalu dengan pakaian yang serba indah. Pengikut tasauf tidak gemar dengan pakaian yang indah-indah.
2. Makna pada istilah ahli hakikat ialah;
Berakhlak dengan segala kelakuan "At-Thoifah Al-Sufiyah" bertawasul dengan segala sifat mereka, bertalian dengan rantai yang bersambung kepada mereka. Berkata Imam Sufi Al-Sheikh Junaid Al-Bagdadi;
"Dimatikan(fana) kamu oleh Al-Haq daripada engkau dan dihidupkan kamu dengan Dia"
Tasauf juga diertikan; "Berhenti dengan sekelian adab yang dibangsakan kepada Syarak yang zhohir dan yang batin".
Bererti juga; "Kesempurnaan manusia dengan Islam, Iman dan Ihsan".
Bererti juga; "Menyerahkan diri semata-mata kepada Allah atas sekelian kehendak dan cita-cita".
Sebahagian orang berpendapat; "Berpegang dengan kefakiran dan Iftikor(berhajat kepada Allah). Tahqiq dengan pemberian dan Aisar (pengutamaan akan orang lain), meninggalkan tentangan qada dan qadar dan ikhtiar".
Demikianlah pengertiaan Tasauf yang dibuat oleh Guru Tok Kenali.
Basyir Al-Haris salah seorang Ahli sufi dalam memberi erti Tasauf, ia berkata; "Orang sufi ialah yang telah bersih hatinya semata-mata untuk Allah".
Abu Muhammad Al-Jurairi berkata, Tasauf ialah masuk ke dalam budi menurut contoh yang ditinggalkan oleh Nabi dan keluar daripada budi yang rendah".
Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari berkata; "Tasauf ialah ilmu yang menerangkan hal-hal tentang cara mensuci-bersihkan jiwa, tentang cara memperbaiki akhlak dan tentang cara pembinaan kesejahteraan lahir dan batin untuk mencapai kebahgiaan yang abadi".
Kata guru Tok Kenali(Sheikh Ahmad Al-Fathoni), semua defenisi yang berbagai corak itu ragam yang lebih tepat di sisi penghulu kita Al-Sufiah dapat difahamkan daripada dua bait puisi ini;
"Bersalah-salahan manusia pada tempat pecahan sufi dan telah berlain-lainan pendapat mereka itu kepadanya; Mereka menyangka berasal daripada kata Saufa; Tiadalah aku memberi nama ini iaitu sufi itu akan yang lain daripada seorang pemuda yang bersih dan berpakaian Sauf sehingga dia dinamakan seorang sufi.
Asal kata sufi itu diambil dari kata "Sofa" yang dapat diertikan dengan bersih, jernih, dinamakan "SALIK" iaitu yang berjalan kepada Allah dengan cara-cara Sufi itu kerana bersih hatinya, suci batinnya dan bersih juga zhohirnya daripada lain daripada Allah. Perlu juga diperjelaskan nama-nama lain bagi Ilmu Tasauf ini. Berlain-lainan nama yang diberikan kerana berdasarkan perbezaannya pada hantarannya dan pendekatan yang digunakan, namun maksud dan arah tujuannya tetap satu jua. Antaranya ialah
1. Ilmu Batin
2. Ilmu Qalbi - Ilmu Hati
3. Ilmu Laduni - Ilmu di sisi Allah 4. Ilmu Mukasyafah - Ilmu Pembukaan 5. Ilmu Asror - Ilmu Sekelian Rahsia 6. Ilmu Maknun - Ilmu yang disembunyikan 7. Ilmu Hakikat 8. Ilmu Tahqiq 9. Ilmu Makrifat 10. Ilmu Diri 11. dan lain-lain lagi. Tersebut dalam kitab "Jawahirul Feqah" bahawa Ilmu Qalbi itu adalah zauqi ertinya dibangsakan kepada perasaan semata-mata. Juga adalah dari Wujdan; ertinya dibangsakan kepada pendapat yang tidak dapat digigit, tak dapat dikomentrikan segala lidah kelam tak dapat ditulis oleh mata qalam, tak dapat meliputi oleh daftar dan waham. Status pada pengetahuan yang zhohir itu seumpama buah dengan pohon. Kemulian tetap bagi pohon kerana dia mendapat nama - tetapi pohon tidak bermanfaat jika tidak berbuah. Saya (Sheikh Ahmad Al-Fathoni) berpendapat;
"Buah tidak diperdapat jika pohon hidup tidak subur".
Kenyataan ini tidak berlawanan dengan penemuan kritis Imam Ghazali dalam memperkatakan tentang kedudukan Ilmu Tasauf ini jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu yang lain iaitu;
"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang dalamnya terdapat seluruh Hal Ehwal dua ilmu yang tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu". Ilmu mereka terdiri dari
- Hal,
- Waktu,
- Samaa',
- Wujdan,
- Sheikh,
- Sakr,
- Sohwu,
- Isbat,
- Mahwu,
- Fakir,
- Fana,
- Wilayah,
- Irodah,
- Murid
- dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-
tambahannya,sifat-sifat dan makam-makam.
Yang dimaksudkan dengan terhimpun dari dua ilmu ialah gabungan antara "Ilmu Tentang Cara-cara Beramal"(Ilmu Syariat) dengan Ilmu Yang Hasil dari Amalan. Dalam kitab-kitab tua kebanyakan pengarang lebih suka menggunakan istilah Wirid bagi menunjukkan amalan praktik Ilmu Syariat ini dan istilah Warid bagi menunjukkan Ilmu Yang Hasil dari Amalan Syariat.
Kita lihat pula satu catatan yang amat bermakna dari Imam Ghazali pada kitabnya Al-Munqidz-Minadhdholal(pembebasan dari kesesatan) yang boleh menjernihkan makna dan pengertian Tasauf ini sebagaimana berikut;
"Perhatianku berpusat kepada jalan Sufiah. Nyata sekali jalan ini takkan dapat ditempuh melainkan dengan Ilmu dan 'Amal. Pokoknya harus menempuh tanjakan-tanjakan batin dan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan bathin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku ilmu lebih mudah daripada 'amal. Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab-kitab mereka, di antaranya Kitab Qutul Qulub karangan abu Thalib Al-Makki dan kitab-kitab karangan Al Harsi Al Muhasibi serta ucapan-ucapan Al-Junaid, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustomin dan lain-lain. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka. Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dicapai dengan Dzauk(rasa pengalaman bathin), pengalaman dan perkembangan bathin. Jauh nian perbezaan antara mengetahui erti sehat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sehat dan kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalami mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu. Tabib yang sedang sakit, tahu banyak tentang sehat, tetapi ia sendiri sedang tidak sehat. Tahu erti dan syarat-syarat zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman bukan perkataan. Apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah kucapai. Selanjutnya harus dengan Dzauk dan "suluk"(menempuh perjalanan batin).
Rumusan dan kefahaman yang boleh dibuat daripada definisi dan maksud-maksud di atas, Ilmu Tasauf ialah sesuatu Ilmu yang didasarkan kepada mengamalkan dengan Ilmu yang diketahui. Bukan semata-mata tahu teori dan bercakap dan menggunakan istilah-istilahnya, tetapi dengan beramal dan ianya mencakupi dalam mana-mana hal-ahwal mengikut kesucian jiwa dan ketinggian peribadi dan berperangai dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana isyarat berikut;
Seorang Arifbillah berkata; At-Tasauf, iaitu berhenti serta adab syariat yang zhohir dan batin. Maka ia melihat akan hukumnya daripada zhohirnya di dalam batinnya. Yang batinnya pada zhohirnya. Maka shahih daripada dua hukum itu, sempurna dengan tiada sempurna kemudian daripadanya. Atau dikata "Jernih zhohir" daripada dosa dan "jernih batin" daripada agyar".
Sekali-kali tidak berpisah dari hukum takhlif yang lima malah ia adalah pokok utama kepada Ilmu Tasauf. Bagaimana pula hukum takhlif(syariat) ini boleh diremeh-remehkan oleh seorang Sufi sebenar?.
ALLAH HU A'ALAM
No comments:
Post a Comment