Di antara sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati, ada sifat mazmumah yang dianggap sebagai pokok. Mazmumah yang pokok ini membuahkan banyak sifat-sifat mazmumah yang lain.
Di antaranya ialah pokok sombong (kibir atau ego). Pokok sombong ini membuahkan sifat marah, pendendam, panas baran, kasar, tidak suka memberi maaf, tidak suka meminta maaf, tidak taat, ujub, riyak, sum’ah, zalim, rasa diri mulia, tinggi diri, suka bermegah-megah dan sebagainya.
Sombong adalah sifat mazmumah yang pertama yang Tuhan ciptakan. Makhluk yang pertama dijangkiti sifat ini ialah Azazil. Justeru itu dia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam apabila diperintah oleh Tuhan. Bukan itu sahaja. Di sebabkan sifat sombong yang keterlaluan ini, Azazil rela dilaknat oleh Tuhan dan bakal dihumban ke dalam neraka. Apabila dia diberitakan oleh Nabi Musa, Tuhan akan ampunkan dia kalau dia mahu sujud kepada kubur Nabi ALLAH Adam a.s, dengan sombong dia berkata: “Masa dia hidup pun aku tidak sujud, inikan pula selepas dia mati.”
Disebabkan sifat sombong ini seperti pokok, ia sangat sukar untuk dihapuskan daripada hati-hati manusia kerana dia berakar umbi di situ. Imam Al Ghazali r.a ada mengatakan bahawa hampir-hampir mustahil sifat sombong ini dapat dihapuskan sepenuhnya dari hati-hati manusia. Paling baik, ianya hanya boleh dikurangkan. Ulama-ulama sufi zaman dahulu yang telah berjaya bermujahadah memperbaiki diri mengatakan bahawa sifat mazmumah yang paling akhir sekali keluar dari hati ialah sombong.
Satu lagi sifat mazmumah yang pokok ialah cinta dunia. Pokok cinta dunia ini membuahkan sifat bakhil, tamak, haloba, hasad dengki, gila pangkat, gila puji, khianat, penting diri, berkira dan berbagai-bagai lagi. Sifat cinta dunia ini adalah kepala atau ibu segala maksiat.
Kalau pokok sombong dan pokok cinta dunia ini dibiarkan hidup subur, selagi itulah dia akan menghasilkan berbagai-bagai buah mazmumah seperti yang disebut tadi. Bagaimanapun kita bermujahadah untuk membuang sifat-sifat marah, pendendam, kasar, riyak, ujub, sum’ah dan sebagainya, kita tidak akan berjaya. Ini kerana sebanyak mana pun sifat mazmumah itu yang kita buang, sebanyak itu pulalah pokok sombong di hati kita itu akan menghasilkan buah yang baru sebagai ganti.
Begitu juga, bagaimanapun kita bermujahadah untuk membuang sifat-sifat bakhil, tamak, haloba, hasad dengki, gila pangkat dan sebagainya, kita juga tidak akan berjaya. Banyak lagi sifat-sifat tersebut akan dihasilkan oleh pokok cinta dunia yang subur di dalam hati kita itu.
Untuk mendapat kesan yang baik dari mujahadah, tidak cukup hanya dengan membuang buah-buah mazmumah hasil dari pokok sombong dan pokok cinta dunia ini. Apa yang perlu kita buat ialah pokok sombong dan pokok cinta dunia itu sendiri perlu dicantas dan ditebang. Mula-mula dicantas ranting-rantingnya di mana buahnya berputik. Kemudian dicantas dahannya, dan selepas itu ditebang batangnya sehingga yang tinggal hanya tunggulnya sahaja.
Tunggul tidak boleh menghasilkan buah. Kalaupun dia bertunas kembali, mudah sahaja tunas itu boleh kita buang dan kita patahkan. Untuk mencabut tunggul sombong dan cinta dunia itu dengan akar umbinya sekali mungkin susah. Memadailah kalau ianya dapat dicantas dan ditebang hingga ke tunggul. Yang penting, jangan dia berbuah.
Kalau pokok sombong dan pokok cinta dunia ini berjaya ditebang, maka dengan sendirinya sifat-sifat mazmumah yang merupakan buahnya akan lenyap sama sekali, Inilah jalan dan cara yang berkesan untuk bermujahadah membuang kebanyakan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati kita.
Di antara sifat-sifat mahmudah pula, ada juga sifat mahmudah yang dianggap pokok. Mahmudah yang pokok ini membuahkan banyak sifat mahmudah yang lain. Di antaranya ialah sifat sabar. Pokok sabar membuahkan sifat kasih sayang, penyantun, pemaaf, tolak ansur, lapang dada, redha, timbang rasa, lemah lembut, simpati, mengutamakan orang lain dan sebagainya.
Untuk menghias hati dengan sifat-sifat mahmudah sama caranya dengan membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah iaitu dengan bermujahadah. Jalan paling mudah untuk mendapatkan semua sifat-sifat mahmudah seperti yang disebut di atas ialah dengan menyuburkan pokok sabar di dalam hati. Bila pokok sabar subur, ia dengan sendirinya akan membuahkan berbagai-bagai sifat mahmudah yang lain.
Rumusannya, dalam usaha memperbaiki diri, pokok sombong dan pokok cinta dunia perlu terlebih dahulu dibenteras dan pokok sabar perlu terlebih dahulu dipupuk di dalam hati. Dalam bermujahadah perlu kita beri perhatian kepada pokok dan bukan buahnya...
ALLAH HU ALLAH..
No comments:
Post a Comment