Friday, 31 August 2012

MAKNA ZIKIR....



Berzikir memang di antara jalan untuk mencapai taqwa. Namun kalau maksud “zikir” ini tidak dikembangkan atau dijelaskan, ia akan menimbulkan kekeliruan. Ramai orang tidak memahami erti sebenar zikir dan hakikat zikir. Ramai yang menganggap zikir itu setakat kumat-kamit di mulut dan menggentel biji tasbih.

Kalau itulah zikir, masakan ia dapat mendatangkan taqwa. Taqwa bukan benda kecil. Taqwa adalah satu keadaan hati yang begitu tinggi. Iaitu hati yang tenang dan selamat sejahtera. Hati yang terisi dengan iman, yakin, ikhlas, redha, sabar, syukur, tawakal, takut dan berharap dengan ALLAH SWT. Hati yang mampu merasa sihat dalam sakit, kaya dalam miskin, ramai dalam keseorangan, lapang dalam kesempitan dan terhibur dengan ujian dan mehnah dari Tuhan.

Bentuk zikir berbeza-beza. Ada zikir qauli (disebut dengan lidah). Ada zikir fe’li (amalan lahir) dan ada zikir qalbi (iaitu zikir di hati).

Zikir Qauli...


Zikir qauli ialah apa yang disebut dengan lidah berulang-ulang kali seperti nama-nama Tuhan, istighfar, selawat, ayat-ayat Al Quran dan sebagainya. Zikir qauli ini bertujuan untuk membantu hati dalam mengingati ALLAH Zikir qauli yang tidak difahami dan tidak membawa apa-apa rasa di hati tidak ada makna apa-apa dan tidak ada pahalanya. Kecualilah kalau zikir itu ayat-ayat Quran dan selawat. Kalaupun tidak difahami dan tidak membawa rasa-rasa di hati, bacaan ayat-ayat Quran dan selawat tetap akan diberi pahala. Zikir-zikir yang lain, kalau tidak difahami dan kalau tidak membawa rasa-rasa di hati, bukan sahaja tidak dapat apa-apa pahala tetapi tidak juga dapat mendidik hati.

Ramai orang suka mengamalkan zikir qauli ini. Kadangkadang dibaca berulang-ulang kali zikir itu sampai beratus-ratus malahan beribu-ribu kali. Tapi harus diingat, nilai zikir qauli bukan terletak kepada jumlahnya tetapi kepada kefahaman dan kesannya kepada hati.

Kalau hati telah terhubung dengan Tuhan, kalau hati telah berzikir dan merasa bertuhan, maka zikir qauli tidak perlu lagi. Biar sahaja hati yang berzikir. Ini kerana zikir qauli adalah seperti “starter-motor” kepada kereta dan hati itu enjinnya. Kalau enjin kereta sudah hidup, tidak perlu lagi kita gunakan starter-motor.

Zikir Fe’li...


Zikir fe’li pula ialah segala ibadah lahir sama ada yang sunat mahupun yang wajib atau fardhu. Ini termasuklah solat, puasa, zakat, haji, sedekah, menolong orang dan sebagainya.

Zikir fe’li ini juga kalau tidak memberi kesan kepada hati, tidak juga ada apa-apa makna. Kalau solat tidak menghidupkan rasa khusyuk iaitu rasa bertuhan dan rasa kehambaan, solat itu tidak ada apa-apa makna. Sampai bila pun kita tidak akan jadi baik. Ini kerana rasa bertuhan itu boleh menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan rasa kehambaan itu boleh membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita.

Kalau puasa tidak mampu membersihkan fitrah kita, dan tidak menginsafkan kita, maka puasa tidak ada makna apa-apa. Kerana amalan puasa itu bertujuan mengekang hawa nafsu dan menyucikan fitrah.

Kalau zakat tidak dapat memusnahkan cinta kita kepada dunia dan menimbulkan cinta kita kepada Akhirat, dan tidak dapat memupuk rasa kasih sayang terhadap fakir miskin, maka zakat tidak ada makna apa-apa. Cinta dunia kita itulah kepala atau ibu segala maksiat yang kita lakukan.

Kalau haji tidak dapat membuatkan kita rela berkorban dan bersusah payah kerana Tuhan, dan hati tidak tertuju kepada Tuhan, maka haji kita tidak ada makna apa-apa. Haji itu maksudnya “menuju” iaitu hati atau roh menuju Tuhan.

Zikir Qalbi...

Zikir qalbi atau zikir hati itu ialah segala ibadah rohaniah yang melibatkan akal dan hati. Ini termasuklah mendidik hati supaya mengenal Tuhan sehingga menjadi orang yang arifbillah (orang yang mengenal Allah dengan hatinya). Kemudian menjadi orang yang cinta kepada ALLAH. Orang yang kenal Allah itu pasti akan jatuh cinta pada-Nya kerana ALLAH itu Maha Baik dan Maha Sempurna sifat-Nya. Selepas itu menjadi orang yang takut kepada ALLAH iaitu takut tersisih dari rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya. Kemudian pula menjadi orang yang kuat rasa bertuhan. Rasa hebat, gerun, tawakal, bergantung harap kepada ALLAH. Merasakan ALLAH sentiasa melihat, mengetahui serta mengawasi.

Ibadah rohaniah juga termasuk mujahadah melawan hawa nafsu (mujahadatunnafsi), muhasabah diri, memperbaiki diri melalui takhalli (membuang sifat-sifat mazmumah dari hati) dan tahalli (menghiasi hati dengan segala sifat-sifat mahmudah). Juga melihat kebesaran dan kekuasaan ALLAH dalam semua ciptaan dan perbuatannya.

Yang dikatakan yazkuru atau berzikir di dalam Al Quran untuk mencapai taqwa itu bukanlah setakat zikir biasa atau zikir luaran (qauli dan fe’li) tetapi adalah zikir qalbi yang merangkumi segala ibadah rohaniah atau ibadah hati seperti yang disebutkan di atas. Zikir qauli dan zikir fe’li tidak banyak memberi kesan pada hati. Kalaupun ia berkesan, hanya setakat 10%. Tetapi zikir qalbi, kesannya terus menerus kepada hati kerana hati itu sendiri yang berzikir. Keberkesanannya hingga 90%. Yang penting dalam berzikir bukan sebanyak mana zikir yang boleh kita sebut atau sebanyak mana amalan atau ibadah lahir yang boleh kita lakukan tetapi adalah setakat mana hati, jiwa dan roh kita boleh terkesan dan terdidik. Itulah yang boleh membawa kita kepada taqwa.

Di zaman ini, ibadah hati atau ibadah rohaniah tidak banyak disebut. Lebih-lebih lagi tidak banyak diamalkan. Manusia sibuk dengan ibadah lahir semata-mata. Namun, akhirnya nanti, hatilah yang menjadi ukuran. Hatilah yang akan diperlihatkan.

Firman ALLAH SWT:

Maksudnya: “Di hari harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang-orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat sejahtera.” (Asy Syuara: 88- 89)

Firman ALLAH SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah sesiapa yang membersihkan hatinya (roh, jiwa, nafsunya) dan kecewalah sesiapa yang mengotori hatinya.” (Asy Syam: 9-10)

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Bahawasanya Allah tidak memandang akan lahir (rupa dan harta) kamu, tetapi memandang hati dan amalan kamu.”

Inilah sebenarnya maksud berzikir untuk mencapai taqwa iaitu mengamalkan ibadah-ibadah hati atau ibadah-ibadah rohani seperti mujahadatunnafsi atau mujahadah melawan hawa nafsu, memperbaiki diri, mengenal Tuhan dan segala amalan-amalan hati yang lain. Ia bukan setakat kumat-kamit di bibir dan menggentel biji tasbih. Ia juga bukan setakat wirid yang diulangulang sampai beratus-ratus atau beribu-ribu kali yang tidak memberi apa-apa kesan pada hati. Ia juga bukan setakat amalan atau ibadah lahir yang tidak berjiwa dan tidak ada rohnya.

Yang dikatakan yazkuru atau berzikir di dalam Al Quran untuk mencapai taqwa itu bukanlah setakat zikir biasa atau zikir luaran (qauli dan fe’li) tetapi adalah zikir qalbi yang merangkumi segala ibadah rohaniah atau ibadah hati
 ..


No comments:

Post a Comment