Saturday, 25 August 2012

PIMPINAN AULIA...


Amatlah mustahak bagi setiap orang Islam mengikut jalan Tareqat agar mereka dapat ditunjukkan jalan untuk mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya. Tidaklah mencukupi bagi seseorang itu  mempelajari pelbagai perkara terutamanya mengenai Islam hanya dengan membaca buku, tetapi amat penting bagi seseorang itu mengamalkan apa yang telah dipelajari atau yang telah dibaca itu. Semua orang mampu untuk mengetahui ilmu pembedahan hanya dengan membaca buku-buku berkenaan pembedahan/surgeri tetapi ini bukanlah bermakna dia mampu membuat pembedahan ke atas seseorang. Kemungkinan dia menjadi seorang tukang sembelih berbanding menjadi doktor bedah adalah amat besar. Dia memerlukan seorang pakar bedah untuk membimbingnya untuk membuat satu-satu pembedahan. Sekadar membaca buku belumlah mencukupi sebab yang pentingnya adalah latihan dan latihan hanya boleh dibuat dengan pimpinan seseorang yang mahir atau pakar mengenai sesuatu bidang. Di dalam Islam, pakar tersebut adalah guru mursyid.

Apakah yang kita hendak latih? Kita hendak berlatih menjadi seorang hamba ALLAH dan mempunyai rasa kehambaan yang sempurna sebagaimana yang digariskan di dalam Islam. Itulah sebabnya ALLAH SWT telah menurunkan kitab Al Quran dan mengutuskan kekasihNya untuk memberi panduan dan bimbingan menuju Tuhan.Kini, terdapat ramai orang yang melarang dan menghalang orang lain daripada mencari guru mursyid. Terdapat 2 jenis guru di dunia Islam kini iaitu ulama dan guru mursyid. Ulama memberi panduan dan ilmu mengenai Islam tetapi guru mursyid yang dapat membimbing zahir dan batin manusia mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya.

Ramai umat Islam masa kini termasuklah ulama-ulamanya yang sangat "alergic" dengan perkataan guru mursyid. Merka sangat loya mendengar mengenainya. Ini kerana nafsu mereka tidak boleh menerimanya. Ini disebabkan mereka telah menjadikan nafsu mereka sebagai guru mursyid mereka. Mereka ini adalah golongan yang jahil dan degil. Adakah mereka tidak memerhatikan kehidupan Rasul SAW dengan para Sahabatnya?  Sekiranya Islam itu cukup hanya dengan mengikut ajaran Al Quran semata-mata, maka ALLAH SWT tidak perlulah mengutuskan Rasulullah SAW. Cukuplah ALLAH SWT menurunkan lembaran-lembaran kertas kepada manusia ketika itu.  Tetapi bukan itu yang ALLAH SWT perbuat. Dia tetap mengutuskan Rasul SAW sebagai guru mursyid kepada para Sahabat ketika itu selain Al Quran untuk menjadi contoh ikutan yang boleh dilihat pengamalan Islam di dalam hidup mereka, dan bukan semata-mata sebagai ilmu atau teori sahaja. Tidaklah cukup dengan mengatakan : "Cukuplah dengan berpandukan kitab Al Quran & Hadis Rasul SAW. Kami tidak memerlukan guru mursyid." Kerana anda tidak akan mampu membongkar rahsia-rahsia Al Quran dan Hadis SAW tersebut tanpa panduan dan bimbingan guru mursyid yang hakikatnya mewarisi ilmu-ilmu rahsia Rasul SAW dan menjadi contoh "hidup" atau bayangan Rasul SAWdalam kehidupan pada masa sekarang.

Zaman sekarang, umat Islam merasakan bahawa mereka sudah mampu melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka tanpa sebarang guru mursyid. Mereka hakikatnya sedang membohongi diri mereka sendiri. Hakikatnya mereka tertipu dalam beribadah dan derhaka dalam taat. Tidakkah mereka pernah terbaca mengenai Malaikat Jibirl AS. ALLAH SWT mengutus malaikat Jibril AS yang menyerupai seorang manusia bagi bertindak dan berperanan sebagai seorang guru kepada Rasulullah SAW untuk menunujukkan cara-cara mengambil wudhuk dan solat. Rasul SAW pula telah mengajarkan kaedah -kaedah tersebut kepada para Sahabatnya yang telah diwariskan sehingga kini melalui ulama-ulama Islam yang akhirnya kita pula tahu mengambil wudhuk dan solat persis sebagaiman yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW itu. Sekiranya sekadar membaca  Al Quran dan Hadis, mampukah kita berwudhuk dan bersolat tanpa panduan batang tubuh orang yang memberi panduan? Kalau para Sahabat pun memerlukan guru mursyid iaitu Nabi Muhammad SAW untuk membimbing mereka, adakah kita lebih hebat daripada para Sahabat Rasul SAW sehingga tidak mahu dan tidak memerlukan seorang guru mursyid?

Orang zaman sekarang cuba menyebarkan fahaman: " Tidak perlu kepada mazhab! Tidak perlu kepada tareqat! Tidak perlu kepada mursyid! Cukuplah dengan mengikut Al Quran dan Hadis dan akan dapat jalan menuju Tuhan." Ini adalah kata-kata orang bodoh dan dungu. Mazhab dan tareqat merupakan jalan-jalan yang telah disediakan oleh pakar-pakar iaitu para Imam dan guru mursyid untuk menuju ALLAH. Orang yang menolak mazhab, tareqat dan guru mursyid seolah-olah mengatakan :" Saya tidak memerlukan highway atau lebuhraya kamu. Kami akan buat jalan kami sendiri. Kami akan redah hutan belantara bagi membina jalan kami sendiri." Hakikatnya, ini adalah kata-kata orang yang sombong dan kesombongan itu hanya akan membawa mereka ke neraka.

Jalan tareqat adalah jalan untuk mereka yang ingin menjadi hamba ALLAH yang penuh dengan rasa kehambaan, bukannya bagi mereka yang sombong. Orang yang bertareqat adalah orang yang memandang kecil kepada kehidupan dunia dan memandang besar kehidupan Akhirat. Bagi mereka yang ingin menjalani kehidupan Islam yang sebenar-benarnya, maka wajiblah mereka mencari guru mursyid dan tareqat yang sesuai dengan mereka. Sesiapa yang mendakwa tidak perlu bertareqat dan tidak perlu berguru mursyid, hakikatnya mereka ini tidak diperlukan oleh guru-guru mursyid dan tareqat tersebut kerana mereka hakikatnya adalah pengikut-pengikut Dajjal laknatullah.


No comments:

Post a Comment